KOTA DAMANSARA – Kegembiraan seorang penarik kereta yang mahu bersantai
bersama rakannya untuk menonton perlawanan suku akhir Kejohanan Euro
2012 antara Jerman dan Greece tidak kesampaian apabila kereta Honda City
dipandunya terbabas serta berpusing beberapa kali sebelum terbalik di
bahu jalan bertentangan.
Dalam kejadian pada jam 2 pagi semalam di Persiaran Kenangan Seksyen 6
itu, mangsa dikatakan cuba mengelak lembaga misteri yang secara
tiba-tiba melintas jalan tersebut.
Penarik kereta berusia 30 tahun itu bagaimanapun bernasib baik dan
hanya mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta luka pada bahagian
badan.
Dia diselamatkan oleh orang ramai yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang hannya mahu dikenali sebagai
Lim berkata, dia cuba mengelak dari melanggar satu lembaga berwarna
hitam yang melintas jalan.
“Saya terkejut dan memusing stereng ke bahagian kanan. Apa yang saya
ingat, kereta ini langgar pokok di atas pembahagi jalan, berpusing
beberapa kali dan terbalik,” katanya yang dalam perjalanan ke Uptown
D’Kota, Jalan Teknologi dekat sini. Sementara itu, seorang saksi, Ayob
Osman, 43, berkata, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas.
“Nasib baik tiada pemandu lain di arah bertentangan, jika tidak keadaan
mungkin bertambah buruk,” katanya yang tinggal di kawasan itu.
Difahamkan kemalangan misteri sememangnya kerap berlaku di jalan itu
dan pernah meragut nyawa seorang wanita mengandung yang dirempuh sebuah
kereta ketika melintas pada 2008.
Mangsa yang cedera kemudiannya membuat laporan di Balai Kota Damansara.
0 comments:
Post a Comment