Wednesday, January 9, 2013

Lari tak tahan deraan seksual suami

0 comments


Lari tak tahan deraan seksual suami
Jenice (kiri) bertanya sesuatu kepada tiga beranak berkenaan di Pejabat Dun Teratai, kelmarin.
AMPANG - “Saya lihat depan mata ayah memaksa emak melakukan seks dan emak akan dipukul kalau enggan berbuat demikian,” luah kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun, menceritakan penderitaan ibunya.

Dia berkata, lelaki itu akan menghentak kepala serta memukul ibunya setiap kali wanita itu enggan mengadakan hubungan seks.

Menurutnya, dia tidak mahu tinggal lagi bersama lelaki itu kerana bimbang akan menjadi mangsa rogol satu masa nanti.

“Sekarang saya, emak dan adik menumpang di rumah saudara kerana mahu mengelak penderaan dilakukan ayah,” katanya ketika di Pejabat Dun Teratai bersama keluarganya bagi mendapatkan bantuan dan perlindungan, di sini, kelmarin.

Sementara itu, ibu mangsa, yang berusia 39 tahun  memohon pihak bertanggungjawab mengambil perhatian mengenai perkara ini seterusnya menyelamatkan dia daripada keganasan suaminya.

Menurutnya, dia menjadi mangsa lelaki itu sejak 2003 dan akan didera sekiranya permintaan tidak dipenuhi.

“Suami akan mengeluarkan senjata tajam mengugut akan mencederakan anak-anak jika dia tidak dilayan.

“Disebabkan tiada pilihan saya terpaksa memenuhi kehendaknya setiap hari walaupun depan anak,” katanya.

Dia berkahwin dengan lelaki itu sekitar 2000 ketika  melancong ke Malaysia dan dikurniakan dua anak sepanjang perkahwinan mereka.

Sementara itu, Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha yang membantu mangsa membuat laporan berkata, akan mendapatkan perlindungan bagi membela nasib mereka.

“Selain bimbang dengan persekolahan anak mangsa, saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada diganggu lelaki itu,” katanya.

Jenice turut menasihati mangsa penderaan rumahtangga lain tampil membuat laporan.

Polis tembak mati 2 daripada 7 tahanan lolos

0 comments


Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Orang ramai memberikan bantuan kepada seorang anggota polis yang cedera selepas dipukul sekumpulan OKT
BUKIT MERTAJAM - Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mengetuai pasukan khas memburu tahanan terbabit berkata, kedua-dua penjenayah itu ditemui menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana di Kampung Pelet di sini dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
"Polis kemudian melepaskan tembakan pada tayar kereta itu yang menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum kereta itu terhumban ke dalam sungai dan kemudian berlaku tembak menembak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Polis masih belum dapat mengesahkan identiti penjenayah yang ditembak mati itu.
Katanya, bertindak atas malumat awam, polis juga menyerbu kawasan hutan di Kampung Pelet di situ dan ternampak kelibat beberapa lagi penjenayah terbabit tetapi mereka sempat melarikan diri.
Terdahulu itu, polis menerima maklumat awam mengenai seorang daripada penjenayah itu didapati membeli bekalan makanan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kulim-Butterworth dekat sini pada pukul 2 pagi.
Abdul Rahim berkata polis terus melancarkan operasi memburu lima lagi lelaki terbabit hingga ke sempadan Kedah tetapi percaya mereka masih berada di kawasan ladang kelapa sawit itu.
Dalam kejadian pukul 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor, manakala tujuh lagi melarikan diri ke sekitar kawasan ladang sawit di Ara Kuda.- Bernama

Saturday, July 28, 2012

DAP tetap tentang hudud, kata Karpal

0 comments
Pengerusi DAP, Karpal Singh Pengerusi DAP, Karpal Singh
AIR ITAM - DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini walaupun mengakui Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata kenyataan itu adalah jelas dan tidak pernah berubah kerana perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali.

“Apa yang saya cakap ini adalah pendirian DAP, bukan pandangan peribadi saya. Sebagai Pengerusi DAP, saya bertindak sebagai jurucakap parti dan apa yang dikatakan oleh saya adalah kenyataan rasmi parti,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, beliau tidak menghiraukan pendapat Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai  pelaksanaan hudud ketika bertemu dengan pemimpin Pas sebelum ini.

“DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum itu di negara ini.

“Saya tidak kisah apa yang Kit Siang dan Guan Eng cakap mengenai hukum hudud sewaktu bertemu pemimpin Pas,. Tetapi bagi saya ia tetap tidak boleh dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut memberi amaran kepada MCA agar tidak berterusan memainkan isu hukum hudud di negara ini kerana menyifatkannya sebagai membuang masa dan tidak akan dilaksanakan.

“Hentikanlah apa yang dikatakan. Perkara ini (pelaksanaan hudud) tidak akan di laksanakan di negara ini.

“Agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan namun perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali," katanya ketika mengulas kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng Kok yang mendakwa Karpal sebagai orang menurut perintah ( yes man) kepada Pas.

Seng Kok turut menggesa Guan Eng dan Kit Siang supaya meletak jawatan kerana gagal menghalang matlamat Pas dari meneruskan cita-cita itu.

______________________________________________________________________________

Kami tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. 
older post
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...