Monday, June 25, 2012

Kelantan buru import baru

KOTA BHARU - Wakil tunggal negara dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan bercadang untuk membawa masuk beberapa muka baru bagi memantapkan pasukan menjelang pertemuan dengan wakil Iraq, Arbil pada saingan suku akhir kejohanan 15 September ini.

Kelantan buru import baru Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut dibuat selaras dengan peraturan yang digubal oleh AFC dimana pasukan yang layak ke saingan suku akhir boleh mendaftarkan pemain baru sebelum bulan Ogos nanti.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengambil beberapa pemain tempatan yang tidak terlibat dalam saingan Piala Malaysia dan pihaknya sedang mengenal pasti pemain itu.

“Sekarang ini, Keita Mandjou menjadi pemain import baharu The Red Warriors untuk saingan AFC dan beliau akan menjalani latihan bersama pasukan bermula 25 Jun ini serta akan beraksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris Queen Park Rangers (QPR) nanti.

“Selain itu, saya meminta ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk mencari seorang lagi pemain import dan tidak salah Kafa mengeluarkan sedikit belanja bagi memperkuatkan pasukan dalam mengharungi saingan AFC,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung Kelantan dapat mengimbangi kekuatan wakil dari Iraq itu yang begitu berpengalaman dalam saingan berkenaan.

Mengulas mengenai peluang pasukannya pada pertandingan tersebut, Annuar memberitahu pihaknya meletakkan sasaran untuk meraih keputusan seri pada perlawanan pertama di Iraq dan menang di Kota Bharu.

“Ini peluang terbaik kita untuk mencipta sejarah dengan layak ke saingan separuh akhir dan ia perlu digunakan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima wang RM300,000 dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hasil jualan tiket ketika perlawanan akhir Piala FA.

“Jadi wang tersebut belum diagihkan kepada pemain, bagaimanapun, bonus berjumlah RM200,00 yang dijanjikan dalam bentuk pelancongan itu akan diberikan pada 20 November ini.

“Kesemua pemain akan dibawa melancong ke Eropah sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan tersebut,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...