Perjuangan Pas yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah
adalah faktor utama yang mendorong hero filem Leftenan Adnan, Hairie
Othman, 41, mengambil keputusan untuk menyertai parti itu.
Walaupun mengakui tindakan yang diambil itu berisiko dengan kemungkinan
berhadapan ketandusan tawaran berlakon pada masa akan datang, Hairie
redha dan menganggap keputusan itu tepat.
“Apabila saya memilih untuk bersama Pas, ramai rakan artis bertanya
kenapa saya mengambil keputusan ini kerana mereka menganggap saya tidak
akan mendapat tawaran berlakon lagi.
“Mereka tanya apa yang saya mahu buat selepas ini. Saya beritahu mereka
saya akan keluar berceramah dan saya yakin rezeki ALLAH ada di
mana-mana. Saya percaya dan yakin dengan perjuangan berlandaskan Islam
adalah benar," katanya yang mengakui keputusan tersebut bukan atas
paksaan mana-mana pihak.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Tahlil dan Munajat di Dataran Dahlia, Taman Dahlia di sini, malam tadi.
Hadir sama, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; dua Naib
Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya Pas
Negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Pada program berkenaan Hairie turut menyerahkan borang keahliannya
kepada Nik Aziz sambil diperhatikan kira-kira 5,000 pengunjung yang
hadir sekali.
Hairie yang sudah bergiat dalam dunia lakonan lebih 20 tahun berkata,
penyertaannya dalam Pas bukan bermaksud dia sudah tidak lagi menerima
tawaran berlakon seperti dahulu, malah akuinya, dia kini lebih popular.
“Ada yang dakwa saya sudah jadi pelakon suam-suam kuku, sebab itu saya
pilih Pas. Namun, saya begitu terharu dengan kehadiran ramai orang pada
malam ini. Saya rasa jadi 'lebih artis' berbanding sebelum ini,”
katanya.
Hairie berkata, jadual hariannya kini juga padat sejak minggu lalu bagi memenuhi undangan bersama Pas di merata-rata tempat.
“Kali pertama bertemu Tok Guru, beliau bertanya sebab apa saya mahu
masuk Pas. Saya jawab saya ingin berubah. Saya pilih Pas, tiada niat
apa-apa.
“Saya hanyalah penyokong kepada perjuangan yang berlandaskan Islam dan bukan bersifat perkauman atau bangsa," katanya.
Saturday, June 30, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment