Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menjemput beberapa
tokoh yang membangunkan Felda termasuk mantan Perdana Menteri Tun
Abdullah Ahmad Badawi untuk menyertai 'Himpunan Oren, Selamatkan Felda'
pada 14 Julai ini.
Bahkan persatuan itu juga akan menjemput bekas
timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam dan bekas menteri kewangan
Razaleigh Hamzah supaya mereka menyertai perhimpunan tersebut.
Presiden ANAK, Mazlan Aliman (kanan, berbaju biru) berkata surat jemputan kepada semua tokoh tersebut akan dihantar dalam masa terdekat melalui serahan tangan.
Beliau
mereka menjemput Abdullah kerana beliau pernah membatalkan hasrat untuk
menyenaraikan Felda Holding ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) selepas
mengambil alih pemerintahan dari Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Pada
tahun 2004, Abdullah telah membatalkan cadangan penyenaraian. Kita
memberikan penghargaan kepada Abdullah atas pendirian beliau sebagai
ketua kerajaan. Kalau tidak, kita tak tahu apa akan jadi kepada Felda
(waktu itu).
"Tindakan (beliau) itu sangat baik dan
bertanggungjawab sebagai PM pada waktu itu untuk batalkan penyenaraian
buat seketika," katanya.
'Pak Lah batalkan di peringkat akhir'
Dalam sidang media di ibu negara petang ini, Mazlan berkata jemputan itu dibuat di atas "keprihatinan" Abdullah (bawah) membatalkan penyenaraian itu.
"Belum
terlambat" juga beliau memberi nasihat kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak untuk menimbangkan semula berhubung penyenaraian, kata
Mazlan.
Ditanya
mengapa Musa dan Tengku Razaleigh dijemput, Mazlan berkata kedua-dua
tokoh tersebut "berjasa" terhadap penubuhan agensi berkaitan orang
Melayu seperti Felda, UDA dan MARA.
"Saya berkeyakinan mereka
bersetuju dengan apa yang dilakukan. Ini bukan isu PAS, isu ANAK. Ini
isu masa depan tanah orang Melayu.
"Takkan mereka nak jadi penonton sahaja, mudah-mudah sahaja tanah (orang Melayu) hendak digadai," katanya.
Mazlan
yang juga pengerusi biro tanah dan Wilayah PAS berkata cadangan
penyenaraian Felda Holdings itu berada di peringkat akhir sebelum
dibatalkan Abdullah selepas mengambil alih tugas sebagai perdana
menteri.
Mazlan berkata beliau difahamkan bekas pengerusi Felda
ketika itu Tan Sri Yusuf Nor juga tidak bersetuju dengan penyenarai
Felda Holdings di BSKL.
Sasar 20,000 peserta
Selain
itu, Mazlan berkata, mereka juga akan menjemput tokoh seperti Datuk A
Samad Said, Datuk Tamrin Ghafar mewakili arwah bapanya, Tun Ghafar Baba
dan bekas pengerusi Felda Raja Alias.
Selain tokoh tersebut,
Mazlan berkata beberapa lagi bekas pemimpin negeri dijemput ke
perhimpunan itu antaranya bekas exco dan speaker DUN Johor Datuk Zainal
Abidin Zin dan bekas exco Pahang Datuk Zainal Hassan.
Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS berkata dijangka lebih 100 NGO akan terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Antara yang turut dijemput ialah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), PPSMI, BERSIH, dan Anti-Lynas.
Perhimpunan
yang mensasarkan 20,000 peserta itu akan diadakan di Masjid Wilayah
Persekutuan di Jalan Duta sebelum berarak ke Istana Negara untuk
menyerahkan memorandum memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan.
Peserta
akan bergerak sekitar jam 2 petang selepas solat Zohor dan solat hajat,
sebelum bergerak ke Istana Negara melalui Jalan Duta sejauh 3.8
kilometer.
0 comments:
Post a Comment